SESUAI untuk harian atau di litar.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Terjual melebihi 50,000 unit di seluruh dunia sejak dilancarkan pada 2007, Triumph Street Triple menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan jentera ringkas dan berprestasi.

Dikuasakan enjin 765cc tiga silinder sejukan cecair DOHC, model baru ini dilancarkan Ogos tahun lalu dengan tiga varian iaitu S, R dan RS, varian tertinggi dengan pelbagai ciri terkini.

Model ini menawarkan lima mod tunggangan antaranya ‘rain’, ‘road’, ‘sport’, ‘track’ dan mod yang boleh diprogram oleh penunggang.

Paling menarik, jentera ini dilengkapi Mod ‘track’ untuk kegunaan di litar lumba termasuk dilengkapi pengubah gear pantas (quick shifter) sebagai ciri standard.

Semua ini boleh dilaras melalui paparan meter LCD TFT lima inci serba baru dengan empat tema berbeza.


PANEL meter tercanggih dalam segmennya.

Posisi menunggang selesa sama ada dekat, jauh, harian atau ‘mengasah bakat’ di litar lumba.

Lampu Nyalaan Siang (DRL) dan rekaan lampu hadapan berkembar menjadikannya tampak memukau manakala penutup radiator luaran dan dalaman serta panel belakang badan rekaan baru menjadikannya tampil agresif.

Jentera seberat 166 kilogram (kg) dengan kuasa 123PS pada 11,700rpm dan tork 77Nm pada 10,800rpm mudah dikendalikan.

Varian RS turut dilengkapi fork hadapan Showa dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) bersama dua angkup Brembo M50.

Ketika melayan selekoh, lengan ayun jenis ‘Gull­wing’ aloi aluminium berfungsi baik sementara Monoshock Ohlins dan gegelung boleh laras di roda belakang menjadikan tunggangan lebih meyakinkan.

Street Triple RS dijual pada harga RM66,900 (termasuk GST) dengan dua pilihan warna iaitu Perak Matte Ice dan Black Phantom Metalik.


ENJIN tiga silinder responsif.

TRIUMPH STREET TRIPLE RS

• ENJIN: 765cc tiga silinder sejukan cecair DOHC

• TRANSMISI: 6 kelajuan

• KUASA MAKSIMUM: 123PS pada 11,700rpm

• TORK MAKSIMUM: 77Nm pada 10,800rpm

• KAPASITI BAHAN API: 17.4 liter

• BERAT: 166kg

• HARGA: RM66,900 (termasuk GST)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 1:57 AM