ENJIN silinder tunggal responsif.
GAYA jentera lasak dan agresif.
Farith Zahir
farith@tv9.com.my


Kali pertama diberi peluang menunggang uji KTM 690 Duke R, penulis memang tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apatah lagi jentera itu disifatkan sebagai motosikal lumba kategori Naked.

Sejak dilancarkan buat kali pertama pada 1994, jentera keluaran Austria ini memang ditunggu-tunggu oleh penggemar di seluruh dunia.

Namun paling jelas, ia bukan sebuah jentera yang dinaik taraf daripada KTM 690 Duke sebaliknya sebuah jentera yang mendapat sentuhan baru.

Huruf ‘R’ bermakna ‘Racing’ yang terletak pada hujung jentera ini sudah cukup memberi bayangan prestasi yang tidak boleh dinafikan.

Hasil tunggang uji kami, kelajuan jentera dengan enjin berkapasiti 690cc ini mampu menjangkau sehingga 205km/j.

Tambah menarik ia hanya menggunakan khidmat enjin silinder tunggal, disesuaikan dengan transmisi enam kelajuan. Bagi penulis, selain responsif menghemburkan kuasa 70hp pada 7,500rpm, dan tork maksimum direkodkan ialah 70Nm pada 6,550rpm.

Sistem bahan api menggunakan kaedah pancitan terus dan dikawal secara elektronik serta fokus kejuruteraan model baru itu merangkumi beberapa aspek penting termasuk tahap ketegaran, kestabilan, prestasi membrek dan keselesaan.

Jika dilihat pada sudut keselamatan, ia dilengkapkan dengan sistem brek cakera angkup Brembo M50 bersama ciri sistem brek antikunci (ABS) dipadankan dengan kedua-dua roda hadapan dan belakang.

Namun seperti biasa, fungsi ABS pada roda belakang boleh dipadamkan bagi merasai mod supermoto yang membuatkan jentera lebih berprestasi.

Sistem ekzos digunakan adalah jenis titanium Akrapovic (slip-on) yang mana peredam bunyi itu membantu meningkatkan kuasa kuda KTM 690 Duke R sebanyak 2hp.

Harga jualan asas tidak termasuk insurans dan cukai jalan adalah sebanyak RM52,500 seunit bersama jaminan 24 bulan tanpa had jarak perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 4:01 AM