KAWASAKI Z250 untuk unit URB.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Sesuai untuk tugasan dan rondaan, motosikal Kawasaki masih menjadi kenderaan rasmi untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini terbukti baru-baru ini, apabila Majlis Penyerahan Motosikal Kawasaki Z250 dan KLX250 dilakukan di Martak Pasukan Gerakan Am (PGA), Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, penambahan 871 unit motosikal bertujuan sebagai langkah pencegahan jenayah di seluruh negara.

“Buat masa ini, PDRM memiliki 4,189 motosikal dan 3,189 daripadanya adalah model Kawasaki bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Ini memberi impak positif untuk komuniti setempat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd Ahmad Faiz Yahaya.


MOHAMAD Fuzi (kanan) menerima penyerahan motosikal Kawasaki daripada Ahmad Faiz.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, dua model berkenaan dipilih kerana kesesuaiannya dalam meneruskan kesinambungan rondaan cegah jenayah secara holistik terutama KLX250 yang berciri ‘dual purpose’.

“KLX250 sesuai digunakan di laluan sempit, berliku dan lereng bukit serta mampu melepasi laluan berhalangan yang memudahkan anggota melaksanakan tugasan lebih berkesan,” katanya.

Model KLX dikuasakan enjin 249cc empat lejang sejukan cecair silinder tunggal dengan kotak gear enam kelajuan mampu menjana kuasa 22PS pada 7,500rpm dan tork 21Nm pada 7,000rpm.

Sesuai untuk laluan lasak dengan jarak kelegaan tanah 285 milimeter (mm) dan ketiggian pelana 890mm memudahkan kawalan dalam sebarang situasi.

Manakala Z250 pula dikuasakan enjin 249cc sejukan cecair silinder berkembar selari menawarkan tunggangan lebih responsif untuk kawasan urban.

Jentera ini mampu menjana kuasa 32PS pada 11,000rpm dan daya tork 21Nm pada 10,000rpm dengan transmisi enam kelajuan.


KAWASAKI KLX250 untuk rondaan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:42 AM