MEMERIKSA kenderaan selepas mengalami kerosakan pendawaian.
HADI (kiri) bersama rakannya bergambar selepas tiba di Thailand.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Segalanya bermula dengan perbualan antara tiga kawan lama pada awal tahun lalu sebelum seorang daripada kami berseloroh mencadangkan supaya ‘tukar selera’ dengan mengembara menggunakan kereta.

Selepas selesai perbincangan, Hadi Husein, pengembara berpengalaman mengambil keputusan melaksanakan misi seterusnya tetapi kali ini menggunakan kereta.

Terdahulu, dia pernah melakukan tunggangan solo menggunakan motosikal buatan tempatan Modenas Kriss dan berjaya sampai ke London dari Kuala Lumpur.

Bersama dua lagi rakan, Suhaimy Kamaruddin dan jurugambar profesional, Shamshahrin Shamsudin, mereka sepakat untuk memahat satu lagi sejarah.

Menurut Hadi, usaha bakal dilakukan bukan saja untuk mencari pengalaman, malah mengumpul bahan yang boleh membantu menggalakkan integrasi budaya.


PERODUA Kelisa 2001 masih kekal lasak.

“Kami ingin mengangkat naratif perbezaan budaya dan cara hidup pelbagai masyakarat seharusnya digarap menjadi kekuatan yang boleh dimanafaatkan bersama.

“Kami percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan bertujuan mengikis prasangka berkaitan budaya, selain mendorong perpaduan dan kerjasama,” katanya ketika ditemui.

Hadi berkata, pihaknya sudah bertungkus-lumus selama beberapa minggu untuk membuat perancangan perjalanan, persediaan kenderaan, selain persiapan fizikal dan mental.

“Pada Disember tahun lalu, kami menuju sempadan Thailand menggunakan Perodua Kelisa tahun 2001 transmisi automatik untuk memulakan pengembaraan selama 10 hari termasuk melawat lokasi menarik sekitar Koh Samui, Phuket dan Hat Yai.

“Antaranya ke Hin Ta, Hin Yai, Wat Phra Yai (The Big Buddha), Wat Plai Laem dan Namuang Safari Park di Koh Samui, manakala di Phuket pula, kami sempat meninjau lokasi sekitar Rawai Beach Fish Market, Pantai Patong dan Khlong Hae Floating Market di Hat Yai,” katanya.


ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi.

Menurutnya, memang banyak tempat menarik untuk dilawati, namun agak mustahil kerana kesuntukan masa.

“Sepanjang perjalanan, kenderaan digunakan masih berfungsi dengan baik dan tiada masalah besar dialami kecuali sistem pendawaian.

“Mungkin selepas menempuh perjalanan jauh, salah satu wayar kuasa yang terletak di papan pemuka terputus menyebabkan sistem elektik kenderaan terpadam,” katanya.

Menurut Hadi, keadaan agak panik apabila kejadian berlaku pada cuti perayaan Krismas menyebabkan kebanyakan bengkel tidak beroperasi.

“Mujur kami berjaya menemui sebuah kedai potong dan membeli alat ganti terpakai.

“Namun selepas diperiksa, kami mendapati berpunca akibat salah satu wayar terputus dan sistem elektrik kenderaan kembali pulih selepas melakukan penyambungan,” katanya.


ANTARA lokasi menarik yang dikunjungi.

Menurutnya, selepas 10 hari mengembara, mereka selamat tiba di Kuala Lumpur dengan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 2,600 kilometer.

“Pengembaraan sebegini bukan saja mencabar, malah membuka ruang untuk kami mempelajari banyak perkara baru.

“Apa yang penting ialah membuat persiapan rapi untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:47 AM