Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Perjalanan sejauh 350 kilometer (km) menggunakan jentera dua roda bukan satu pengalaman yang indah, tambahan pula terpaksa mengharungi cuaca yang tidak menentu.

Namun, pelawaan Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron) untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi ke Batu Feringgi, Pulau Pinang bertujuan menguji keberkesanan Petron Blaze 100, terasa berat untuk ditolak.

Pertama, ramai yang meragui keupayaan petrol kelas premium RON 100 yang ditawarkan Petron untuk pemilik kenderaan di negara ini, terutama penunggang motosikal.

Untuk pengetahuan, Petron adalah satu-satunya syarikat minyak yang menawarkan produk petrol premium ini dan sudah pasti menjanjikan hasil terbaik terhadap enjin.


PERJALANAN di lebuh raya menuju ke Pulau Pinang.

Kedua, oleh kerana petrol itu diuji pada jentera dua roda berbanding kebiasaannya empat roda, penulis berjaya mendapatkan motosikal sesuai untuk ‘tugasan’ kali ini apabila Moto Varese Asiatic Sdn Bhd menawarkan model premium mereka, MV Agusta Brutale 800.

Jika anda seorang ‘kaki motor’, MV Agusta adalah jenama motosikal yang berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Jika jentera empat roda, ia diibaratkan jenama mewah seperti Ferrari atau Lamborghini.

Berbalik kepada tugasan tadi, seramai 15 wakil media tempatan dengan pelbagai jenama dan kategori motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi kali ini.


ANTARA motosikal berkuasa tinggi yang menyertai konvoi.

Bermula di stesen Petron Selayang berhadapan Metropolitan KL di Lingkaran Tengah Dua (MRR2), semua motosikal peserta diisi dengan Petron Blaze 100 sebelum dilepaskan Pengurus Pemasaran Petron, Danny Chen.

Perjalanan bermula dengan melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebelum memasuki susur keluar ke Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Pulau Pinang.

Sepanjang perjalanan, motosikal terasa ringan dan operasi enjin juga lancar serta mudah memecut apabila pendikit minyak dipulas secara agresif.


PESERTA mengisi Petron Blaze 100 sebelum memulakan perjalanan.

Terdahulu, MV Agusta Brutale dikuasakan enjin 798cc tiga silinder sebaris EFI dengan tunggangan elektronik ‘ride by wire’.

Enjin berkenaan membekalkan 109 kuasa kuda (hp) pada 7,600rpm dengan tork maksimum 83Nm pada 7,600rpm.

Dengan berat penulis melebihi 80 kilogram (kg), ditambah dengan berat kering motosikal sekitar 175kg dan faktor rintangan angin (Brutale adalah motosikal kategori naked), sudah pasti tunggangan di lebuh raya sangat mencabar.


MOTOSIKAL diisi Petron Blaze 100.

Namun, perjalanan di sepanjang lebuh raya terasa sangat lancar hasil gabungan teknologi tulen dua roda dari Itali dan aditif premium daripada Petron Blaze 100.

Konvoi kemudian memasuki susur keluar Taiping sebelum berhenti di stesen Petron Bercham, Perak, untuk mengisi minyak.


DERETAN motosikal berkuasa tinggi selepas tiba di Taiping.

Selepas berhenti untuk makan tengah hari, konvoi diteruskan ke Tasik Taiping untuk sesi bergambar.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Pulau Pinang dan berhenti di stesen Petron Jalan Hussein Onn, Sungai Dua.

Sementara itu, menurut Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron, Faridah Ali, sejak Blaze 100 dilancarkan pada Januari 2016, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelanggan.


PENGAWAL lalu lintas atau marshal yang mengiringi konvoi media ke Pulau Pinang.

“Keunikan ‘Tri-Action Advantage’ menjamin kuasa maksimum, perlindungan enjin terbaik dan lebih kilometer manakala kandungan sulfur terendah.

“Blaze 100 membuktikan komitmen kami dalam menyampaikan produk dan perkhidmatan yang inovatif untuk pelanggan,” katanya.

Katanya, bermula daripada tujuh stesen, Petron Blaze 100 kini boleh diperolehi di 71 stesen seluruh negara.

“Perjalanan ‘Fuel Happy’ dianjurkan untuk media bertujuan memberi peluang kepada mereka mengalami sendiri manfaat bahan api kelas dunia Petron dan perkhidmatan pelanggan yang diperibadikan.


PESERTA berhenti berehat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.

“Dalam tugasan kali ini, peserta diuji menggunakan jentera dua roda dengan melalui jalan biasa dan lebuh raya selain berpeluang menikmati faedah kad Petron Miles untuk penebusan barangan di kedai Treats,” katanya.

Sepanjang tunggangan keseluruhan pada jarak lebih 700km, penulis merasai sendiri kuasa yang ditawarkan oleh Petron Blaze 100 dan tidak mustahil bahan api ini kekal terbaik untuk semua kapasiti enjin sama ada dua atau empat roda.


PESERTA bergambar bersama di Stesen Petron Bercham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:57 AM