LANTAI rendah untuk kemudahan keluar masuk.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Selepas memperkenalkan Honda Sensing pada varian kenderaan utiliti sukan (SUV) CR-V dan sedan Accord, kini sistem keselamatan termaju Honda diperluaskan kepada model kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey terbaru.

Enam ciri utama untuk keselamatan dan keselesaan pada Honda Sensing ialah Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran (CMBS), Amaran Perlepasan Laluan (LDW), Pengurangan Perlepasan Jalan Raya (RDM), Mengikuti Kelajuan Rendah (LSF) dan Sistem Bantu Kekal Laluan (LKAS) kini boleh didapati dalam model generasi ketiga MPV premium berkenaan.

Sistem ini juga diiktiraf sebagai ‘Teknologi Keselamatan Terbaik’ dalam Anugerah Program Pemeriksaan Kenderaan Baru ASEAN (ASEAN-NCAP) Grand Prix 2016.

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial berkata, Odyssey baru dilengkapi Sistem Kamera Pelbagai Pandangan, Sistem Bantu Parkir dan Maklumat Titik Buta sebagai ciri eksklusif.

“Ia meningkatkan penanda aras keselamatan untuk kenderaan dalam segmen MPV di negara ini yang digunakan untuk membawa penumpang atau ahli keluarga ke sesuatu destinasi,” katanya.

Penampilan model ini lebih mewah dengan bampar hadapan dan gril baru, rekaan lampu LED, rim aloi dua tona 17 inci dan cermin sisi boleh dilipat secara automatik.

Ruang dalaman pula lebih praktikal dengan ruang perehat tangan lebih lebar, tempat duduk penumpang boleh laras empat posisi, kerusi Premium Captain berciri Ottoman serta perehat kepala bagi keselesaan perjalanan jauh.

Platform lantai ultra rendah memudahkan urusan keluar masuk ke kabin selain mengekalkan ciri asas lebih kemas dan moden untuk MPV.

Berkuasa 2.4L DOHC i-VTEC, Odyssey turut didatangkan bersama Sistem Earth Dream Technology dan kotak gear transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT).

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Platinium Putih Mutiara dan Premium Hitam Mutiara manakala Perak Metalik dikekalkan daripada model sebelumnya.

Honda Odyssey 2.4L EXV dijual pada harga RM254,800 (tanpa insurans) dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 2:08 PM