PAPARAN meter tunggal yang ringkas.
INDIAN Scout menggunakan tali sawat untuk menggerakkan roda.
ENJIN 1,133cc empat silinder sebaris V berkembar DOHC yang berkuasa.
REKA bentuk Indian Scout sesuai untuk jejaka maskulin.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Satu masa dahulu, motosikal berkuasa tinggi dianggap sebagai barangan mewah dan tidak semua mampu memilikinya.

Namun, peredaran zaman dan hobi terutama lelaki terhadap motosikal berkuasa tinggi seakan-akan tidak boleh dipisahkan.

Hanya mereka yang berjiwa ‘mat motor’ memahami betapa nikmatnya menunggang jentera dua roda di jalan raya selain sanggup melabur wang untuk memiliki motosikal idaman.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menunggang uji motosikal jenis cruiser, Indian Motorcycle Scout.

Awalnya, ramai yang tertanya sejarah motosikal ini sama ada ia model baru dari India berikutan namanya kurang dikenali berbanding jenama ‘dua rakan sepermainan’ dari Amerika Syarikat (AS).

Sebenarnya, Indian adalah antara motosikal terawal di dunia yang dikeluarkan pada 1901 di Springfield, Massachusetts, AS.

Pada awalnya, motosikal ini dikenali sebagai American Indian, sebelum dikomersialkan kepada Indian Motorcycle.

Kemunculannya adalah dua tahun lebih awal berbanding jenama Harley-Davidson yang turut mengetengahkan rekaan hampir sama.

Bermula era awal kemunculannya pada 1910-an, Indian Motocycle menjadi pengeluar motosikal terbesar dunia dengan model paling popular adalah Scout dan Chief.

Disebabkan ketahanan enjin yang luar biasa, tidak hairan motosikal ini turut dijadikan jentera ketika Perang Dunia.

Namun, kegemilangan Indian sebagai motosikal nombor satu dunia lenyap selepas takhta itu dirampas Harley-Davidson.

Bagaimanapun, pada 2011, Polaris Industries mengambil alih operasi Indian Motorcycle dan mula mengeluarkan semula beberapa model legenda Indian.

Pelawaan tunggang uji daripada anak syarikat Naza World, Harmony Fabulous Sdn Bhd (HFSB) yang menjadi pengedar rasmi jenama berkenaan di negara ini boleh diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba kerana penulis memang sudah lama mengidam untuk menunggang cruiser.

Pada awalnya, penulis mahu menggunakan motosikal ini untuk ke Pulau Pinang, tetapi disebabkan belum mahir mengendalikan jentera cruiser seberat 253 kilogram (kg) ini, hasrat itu terpaksa ditunda.

Walaupun atas kertas motosikal ini agak berat, namun bebanan itu langsung tidak terasa sepanjang memulas pendikit minyak.

Dengan padanan enjin V Berkembar 1,133cc lapan injap DOHC, perjalanan terasa lancar, relaks dan stabil.

Sudah pasti jentera ini sesuai untuk tunggangan jarak jauh atau menempuh lebuh raya, tetapi penulis tidak menghadapi masalah ketika mengendalikannya di tengah kesibukan kota.

Padanan enjin dan bunyi ngauman ekzos berkembar sudah cukup membuatkan orang ramai berpaling.

Walaupun menjadi cruiser moden tetapi motosikal ini masih mengekalkan ciri rekaan geometri model asal Scout 1920 dengan tempat duduk yang rendah memudahkan kawalan dan selesa.

Selain bunyinya yang memukau, sudah pasti reka bentuknya yang eksklusif dengan pilihan sama ada pelana tunggal atau pelana tambahan untuk pembonceng.

Berkuasa 100PS pada 8,100rpm manakala tork maksimum 98Nm pada 6,000rpm, jentera ini membuatkan penunggang merasai pengalaman sebenar menunggang motosikal yang satu ketika dulu menguasai pasaran dunia.

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) memastikan penunggang dapat mengawal motosikal dengan baik terutama ketika menghadapi situasi kecemasan.

Penggunaan tali sawat dengan transmisi enam kelajuan membolehkan Scout memecut sehingga kelajuan melebihi 160 kilometer sejam (km/j).

Paparan meter ringkas gabungan sistem analog dan digital memaparkan kelajuan, trip, kedudukan gear, suhu enjin dan isyarat bahan api.

Tangki 12.5 liter membolehkan jentera ini bergerak melebihi jarak 250 kilometer (km) dan sekiranya simbol amaran bahan api menyala, motosikal ini mampu bergerak sehingga 40km, bergantung kepada kelajuan tunggangan.

Kesimpulannya, menunggang Scout adalah satu kepuasan dan tidak hairan jenama ini menjadi pilihan golongan veteran untuk menghabiskan hujung minggu di jalan raya dengan menunggang motosikal.

Untuk pasaran tempatan, model ini dijual pada harga asas bermula RM125,080 dengan dua tahun waranti tanpa had jarak perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 2:19 PM