Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Peningkatan trend memiliki motosikal berkuasa tinggi secara tidak langsung membentuk kelab atau grup motosikal dalam kalangan pemilik dua roda itu sendiri.

Selain dapat bertemu, berbual dan melakukan aktiviti motosikal bersama, kewujudan banyak kelab motosikal membuktikan perkembangan positif industri permotoran tempatan.

Salah satunya, Kelab Motosikal Suzuki GSX-R Malaysia atau lebih dikenali sebagai Gixxer Malaysia yang sering melakukan perjumpaan bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli.

Ditubuhkan pada 2012 dan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 2016, kini kelab berkenaan memiliki pengikut melebihi 14,000 di laman sosial Facebook dan Instagram.


ANTARA ahli Kelab Gixxer Malaysia.

Aktif mempromosikan pelbagai aktiviti menjadikan kelab ini semakin dikenali, malah jumlah keahlian rasmi meningkat kepada 300 terdiri daripada pelbagai latar pekerjaan dan bangsa.

Presiden Kelab Gixxer Malaysia Syahril Mazlan berkata, aktiviti mereka semakin mendapat sambutan dalam kalangan ahli selain bilangan ahli baru sentiasa meningkat.


SESI pendaftaran untuk Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Gixxer Malaysia.

“Tujuan asal penubuhan kelab ini untuk berkumpul dan melakukan aktiviti positif dalam kalangan pemilik Suzuki GSX-R selain membincangkan hal berkaitan teknikal.

“Kemudian, aktiviti kelab semakin berkembang dengan penganjuran program tanggungjawab sosial yang memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan setia kawan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kedua, baru-baru ini.


SYAHRIL.

Perhimpunan yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara itu dihadiri lebih 150 pemilik dan ahli kelab dan mencatat penyertaan tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Antara agenda utama termasuk melantik ahli jawatan kuasa baharu dan merancang aktiviti kelab terutama penyertaan dalam Kejuaraan Superbike Malaysia 2018.

Aktiviti berkenana turut dimeriahkan pelbagai permainan dalaman dan cabutan bertuah kepada mereka yang hadir.


CABUTAN bertuah untuk ahli Kelab Gixxer Malaysia.

Menurut Syahril, rata-rata ahli kelab memilih Suzuki GSX-R kerana pilihan karakter enjin 600cc, 750cc dan 1,000cc serta reka bentuk berbeza berbanding jenama lain.

“Kelab ini membuka keahlian kepada semua pemilik Suzuki GSX-R dan maklumat lanjut berkaitan aktiviti dan program diajurkan boleh dilayari melalui laman Facebook kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 3:37 AM