POSISI menunggang santai.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Sekiranya anda berjiwa kembara dan mahukan jentera yang bukan saja memiliki pengendalian dan keselesaan terbaik terutama membabitkan perjalanan jarak jauh, motosikal ini adalah jawapan paling tepat.

BMW R 1200 RT sudah berada di pasaran tempatan sejak 2014 yang dikategorikan sebagai jentera Sport Touring.

Model ini mula diperkenalkan ke pasaran global sejak 2005 bagi menggantikan model R 1150 RT yang dihasilkan pada 1978.

Penulis berpeluang menunggang uji model terbaharu ini selepas ditawarkan pengedar utamanya, BMW Motorrad Malaysia dengan perjalanan kali ini bermula dari ibu pejabatnya di Cyberjaya menuju ke Muar, Johor dengan jarak tunggangan lebih 300 kilometer (km).


BMW R 1200 RT.

Tunggangan di lebuh raya tidak sukar dan penulis mudah menyesuaikan diri dengan posisi menunggang serta mengendalikan motosikal seberat 276 kilogram (kg) ini.

Melihat kepada rekaan jentera ini, sememangnya direka untuk tujuan perjalanan jarak jauh dengan padanan sepasang kotak barangan sisi.

Komponen ini mampu memuatkan topi keledar ‘full-face’ setiap satu di dalamnya.

Bahagian hadapan tampak tegap dengan pelindung angin lebar boleh laras automatik yang membantu mengurangkan rintangan angin kepada penunggang.


REKAAN hadapan dengan pelindung angin boleh laras.

Kluster lampu hadapan berkembar mengapit lampu bahagian tengah untuk pancaran rendah dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk lingkaran teknologi LED beroperasi secara automatik mengikut cuaca jelas dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Sebaik duduk, posisi menunggang santai dengan bar pemegang lebar, pautan kaki pada tangki bahan api 25 liter ergonomik dan kedudukan pelana pada ketinggian 830 milimeter (mm) untuk penunggang dan 850mm untuk pembonceng menawarkan keselesaan sepanjang perjalanan.


SESUAI untuk perjalanan jauh dengan enjin boxer 1,1170cc.

Ketika menunggang, segala maklumat penuh berkaitan perjalanan boleh dilihat melalui panel meter gabungan analog dan digital penuh TFT bersaiz 5.7 inci untuk memudahkan penulis merancang hentian berikutnya serta lokasi isian bahan api.

Bukan sekadar itu, bagi melakukan tunggangan lebih individual, jentera ini dilengkapi larasan untuk mod tunggangan, Pelarasan Suspensi Elektronik (ESA) prabeban, penetapan suspensi, tahap tekanan tayar dan sebagainya yang boleh dilakukan pada punat di bar pemegang.


SELESA untuk penunggang dan pembonceng.

Paling menarik, ciri terbaharu ditawarkan terhadap model 2018 ini ialah sistem pembesar suara dengan fungsi radio, sambungan USB dan muzik boleh dimainkan ketika menunggang.

Sistem bunyi boleh diperlahan atau dikuatkan dengan mudah, namun pada kelajuan lebih 110 kilometer sejam (km/j), agak sukar mendengarnya dan lebih sesuai ketika tunggangan santai.

BMW R 1200 RT dengan enjin boxer 1,170cc silinder berkembar selari DOHC sejukan udara dan cecair menawarkan tunggangan lancar dan berprestasi sesuai dengan DNA sebagai jentera Sport Touring.


GAYA Sport Touring premium.

Pecutan pada sebarang kelajuan mudah dilakukan dengan kotak gear enam kelajuan pacuan shaft untuk kecekapan penghantaran dan tenaga responsif.

Kestabilan pada jentera ini membolehkannya mencecah kelajuan maksimum melebihi 200km/j dengan 125 kuasa kuda (hp) pada 7,750rpm dan daya kilas 125Nm pada 6,500rpm.

Pengendalian bukan hanya terbaik pada jalan lurus, malah ketika melayan selekoh dengan suspensi hadapan BMW Motorrad Telelever dan lengan ayun tunggal paralever, Strut WAD, Spring prabeban hidraulik boleh laras (boleh ubah berterusan) dan lantunan redaman boleh laras.


PUNAT untuk fungsi dan larasan menu pada meter.

Padanan Kawalan Kestabilan Automatik (ASC) membolehkan cengkaman sesuai mengikut keadaan permukaan jalan raya menambah keyakinan penulis.

Kelajuan jentera juga diimbangi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Integral dipasangkan brek cakera hadapan berkembar 320mm serta cakera tunggal 276mm di belakang.

Untuk sistem kunci berpusat RT ini, enjin jentera boleh dihidupkan tanpa kunci (keyless) dengan hanya menekan punat di suis utama selagi kunci masih bersama penulis.


PANEL meter pelbagai maklumat.

Kunci pintar ini turut mengunci semua kotak barangan sisi dan hanya boleh dibuka atau ditanggalkan pemiliknya saja dan sekiranya jentera digerakkan tanpa kunci, sistem penggera akan berbunyi.

Secara keseluruhan, BMW R 1200 RT adalah sebuah jentera yang menawarkan keselesaan menunggang terutama untuk perjalanan jauh.

Prestasi enjin boxer bertenaga dan lancar pada sebarang kelajuan dengan sistem keselamatan terbaik serta fungsi pelayaran (cruise) menawarkan keselesaan kepada penunggang daripada memulas pendikit dalam tempoh lama.


BREK hadapann dengan angkup Brembo.

Penggunaan bahan api 25 liter mampu mencapai jarak sehingga 450km, bergantung kepada gaya tunggangan.

Sudah pasti pada mereka yang berkemampuan, BMW R 1200 RT harus menjadi pilihan dan jentera ini dijual pada harga RM127,900 (tanpa insurans) dengan empat pilihan warna metalik iaitu Carbon Black, Mars Red/ Dark Slate Matt, Blue Planet dan Sparkling Storm.

Model ini turut didiatangkan bersama waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.


RODA pacuan shaft.

BMW R 1200 RT

• ENJIN: Boxer 1,170cc DOHC Twin Silinder

• KUASA MAKSIMUM: 125hp @ 7,750rpm.

• TORK MAKSIMUM: 125Nm @ 6,500rpm

• KAPASITI BAHAN API: 25 liter

• CIRI KESELAMATAN: ASC, ABS Integral

• HARGA: RM127,900 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 4:04 AM