SAMSON (kanan) bersama Nazman dan Cheraki (tengah) bersama tiga model terbaru Ducati.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


PENGEDAR rasmi jenama Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn Bhd melancarkan tiga model berprestasi dengan identiti berbeza, enjin lebih berkuasa dan gaya tulen jentera Itali.

Ketiga-tiga model berkenaan iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S, Multistrada 1260 S dan Monster 821 dilihat menepati selera peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings Datuk Samson Anand George, berkata gabungan gaya Itali membolehkan motosikal Ducati direka bentuk dengan prestasi dan ketahanan yang menjadikannya sesuai untuk sebarang jenis tunggangan di negara ini.

“Sama ada menyusuri jalan raya di kota sehingga menjelajah ke setiap pelusuk kawasan, Ducati sememangnya direka untuk semua tujuan ini.

“Sebagai pengedar rasmi jenama premium Ducati di Malaysia, Naza memberi perhatian khusus terhadap minat dan nilai wang untuk pelanggan setia termasuk pelbagai tawaran eksklusif dan promosi,” katanya ketika majlis pelancarannya, minggu lalu.

Hadir sama Pengarah Serantau Pemasaran dan Jualan Asia Ducati Motor Dominique Cheraki dan Ketua Bahagian Dua Roda (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings Sdn Bhd Nazman Shah.

Ducati Panigale V4

Model Sport empat silinder ini adalah hasil kerjasama kukuh bersama Ducati Corse yang pakar dalam perlumbaan.

Memiliki DNA jentera lumba MotoGP tetapi direka untuk kegunaan sah di jalan raya biasa atau litar lumba, Panigale V4 padat dengan teknologi perlumbaan.

Hadir dengan rekaan lebih garang, Panigale V4 adalah jentera paling berkuasa pernah dihasilkan Ducati khusus bagi mereka yang mementingkan prestasi, gaya dan kelajuan.

Jentera ini dikuasakan enjin Desmosedici Stradale baharu dan kekal sebagai motosikal paling berkuasa dalam kelasnya dengan paduan kuasa maksimum 214 kuasa kuda (hp) pada 13,000rpm manakala tork maksimum 123.5Nm pada 10,000rpm.

Panigale V4 juga hadir dengan ciri keselamatan tercanggih iaitu 6-axis Inertial Measurement Unit (6D IMU).

Sistem pintar ini terdiri daripada ciri keselamatan seperti ABS Cornering Bosch EVO, Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO) dan Engine Brake Control EVO (EBC EVO).

Menyerlahkan lagi gaya sporty, Panigale V4 turut didatangkan bersama panel meter TFT, lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang (DRL), tiga mod tunggangan (Race, Sport, Street), Ducati Data Analyser + GPS (DDA + GPS) dan Ducati Multimedia System (DMS).

Hadir dengan dua varian berbeza, Panigale V4 dijual pada harga bermula RM129,900 manakala Panigale V4 S berharga RM169,900.

Ducati Multistrada 1260 S

Pertama kali dilancarkan pada 2010, Multistrada adalah permulaan revolusi baru dalam dunia motosikal penjelajah dan enduro yang menepati kehendak individu yang gemar mengembara.

Dengan ciri terkini dipertingkatkan, Multistrada 1260 S menawarkan tahap prestasi lebih mengagumkan sepanjang tunggangan.

Memaksimumkan konsep fleksibiliti, Ducati Multistrada 1260 S digerakkan enjin baru, casis dan elektronik canggih, prestasi serta kawalan jitu dalam sebarang keadaan atau jalan raya.

Dikuasakan enjin Ducati Testastretta DVT bersesaran 1,262cc yang mematuhi piawaian Euro 4, jentera ini menawarkan julat tork pada rpm rendah dan sederhana, menjadikannya lebih mudah dikendalikan.

Ducati Multistrada 1260 S hadir dengan sistem Ride-by-Wire baharu untuk memastikan kawalan pendikit yang lancar sementara Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down pula meningkatkan lagi keseronokan menunggang.

Rekaannya yang ergonomik memastikan keselesaan sepanjang perjalanan termasuk dilengkapi platform Bosch IMU (Inertial Measurement Unit) yang mengawal pelbagai sistem kawalan seperti Cornering ABS, Ducati Cornering Lights, Ducati Wheelie Control (DWC), suspensi Ducati Skyhook (DSS) semi aktif dan Vehicle Hold Control ketika mengharungi jalan cerun.

Didatangkan dengan tiga warna berbeza, Multistrada 1260 S dijual pada harga bermula RM129,900 seunit.

Ducati Monster 821

Jentera naked ini adalah model ikonik bagi Ducati selepas Monster 900 diperkenalkan ketika Pameran Motor Cologne pada 1992.

Dengan rekaan lebih agresif, Monster 821 tampil dengan beberapa penambahbaikan terbaik untuk segmen naked bersama prestasi sempurna.

Sama seperti model Monster sebelum ini, tangki bahan api dipasang cangkuk pengikat dan terbaru adalah paparan meter TFT berwarna dengan petunjuk gear dan takat bahan api.

Dijana enjin Testastretta 11 yang mematuhi piawaian Euro 4, jentera ini menghasilkan 109 hp manakala tork maksimum adalah 86 Nm pada 7,750rpm.

Ciri keselematan turut ditambah baik dengan sistem brek Bosch ABS dan Control Traction Ducati.

Selain itu, sistem brek Brembo dengan cakera berkembar bersaiz 320 mm di depan dan sistem gantungan bersama suspensi boleh laras untuk roda belakang memastikan motosikal sentiasa terkawal dalam semua keadaan.

Ducati Monster 821 didatangkan dalam dua warna iaitu merah dan kuning dijual pada harga bermula RM65,900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 4:00 AM