HONDA Monkey warna kuning.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Honda Monkey mungkin agak janggal bagi peminat dua roda di negara ini, namun jentera diperkenalkan ke pasaran tempatan sejak 1963 itu menjadi antara model popular di seluruh dunia.

Keunikan bentuk dan pengendalian mudah menjadi ikon jentera mini bagi gergasi pengeluar motosikal dunia itu.

Serentak dengan perkembangan positif terhadap model berkenaan, Boon Siew Honda membawa masuk model berkenaan untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Keiichi Yasuda berkata, pihaknya menerima maklum balas positif yang melihat model ini secara dekat.


MUFFLER rekaan baru

“Selepas berpuas hati dengan respons diterima, kami membuat keputusan melancarkan Honda Monkey di pasaran tempatan,” katanya.

Dikuasakan enjin terbaru 125cc silinder tunggal sejukan udara, Honda Monkey menawarkan kuasa 6.66 kW pada 7,000 rpm, manakala daya kilas maksimum sekitar 10.5 Nm pada 5,500 rpm.

Ini menjadikan model ini antara paling berkuasa sejak diperkenalkan ke pasaran.

Masih mengekalkan reka bentuk asal yang klasik, namun beberapa ciri moden diterapkan dalam varian 2018 ini adalah penggunaan lampu LED hadapan dan belakang, paparan meter LCD, ruang penyimpanan peralatan penyelenggaraan, muffler rekaan baru dan sistem penggera pintar.


METER LCD penuh.

Walaupun tampak kecil tetapi ketinggian pelana sebenarnya sama seperti motosikal lain iaitu 775 milimeter (mm), manakala sistem suspensi menawarkan jarak kelegaan tanah sekitar 160 mm.

Hadir dengan gabungan krom dan skema warna cerah seperti merah, biru dan kuning, model ikonik ini dijual pada harga RM13,999 (tanpa insurans) termasuk jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km), yang mana terdahulu.


LAMPU belakang bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 1:00 AM