WHITE Angel memukau.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my

Bagi peminat dunia motosikal kustom tempatan, pasti mengenali motosikal BMW R75/6 yang digelar Bidadari Putih atau White Angel.

Motosikal kustom hasil binaan Rusty Factory (RF) atau Geng Budak Ipoh cukup memukau ketika penampilannya di Art Of Speed (AOS) 2018, baru-baru ini.

Kemunculan jentera dari Ipoh, Perak, ini sememangnya dinanti pengunjung dan peminat dunia kustom kerana bengkel RF sebelum ini mencipta nama dengan merangkul dua anugerah utama pada AOS 2017.

Kejayaan dikecapi seakan berulang apabila White Angel berjaya merangkul dua anugerah, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000.


TAMPIL garang dengan komponen binaan khas.

White Angel antara motosikal kustom yang amat unik dengan rekaan elegan dan futuristik.

Antara keunikan ditampilkan adalah penggunaan gear tangan dan klac kaki digelar ‘Suicide Gear System’ seperti kereta.

Tampak sukar untuk dikendalikan, namun itulah salah satu keunikannya.

Tidak seperti jentera lain, motosikal ini menggunakan pendikit dalaman (Inner Throttle) melalui bar binaan khas.


KARBURATOR Bing berkembar.

Enjin asal bersesaran 750cc itu masih kekal dan tidak diusik kecuali perumah enjin digilap sehingga menghasilkan warna krom.

Jika diperhatikan, bawah pelana terdapat satu cakera berputar dan itu sebenarnya sistem brek jentera ini.


ENJIN asal berfungsi cemerlang.

Kebiasaannya, sistem brek cakera ditempatkan di sisi roda tetapi kreativiti RF membolehkan ia dipasang pada lokasi lain.

Boleh dikatakan hampir 99 peratus jentera ini diubah suai, tetapi ciri asal BMW masih kekal dan dapat dilihat pada perumah enjin.

Difahamkan, kos pembinaan mengambil masa hampir setengah tahun dan menelan kos lebih RM30,000.


PEMILIK bengkel RF bersama jentera ciptaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:06 AM