PROTON X70. FOTO arkib NSTP
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


PROTON Holdings Berhad (PROTON) akan mengaktifkan tempahan dalam talian untuk model baru kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Seiring dengan tekologi terkini yang ditawarkan untuk model itu, pelanggan yang tidak berkesempatan ke pusat cawangan 3S dan 4S Proton boleh melakukan tempahan mereka di www.proton.com.my.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa berkata, selain melihat setiap varian model lebih terperinci pelanggan juga boleh melakukan pembayaran deposit kenderaan di laman itu bermula 17 Oktober ini.

"Kami mahu menjadikannya semudah mungkin bagi rakyat Malaysia untuk menempah Proton X70 sesuai dengan perkembangan teknologi.

“Kami juga akan mengadakan promosi menarik selama tiga hari dari tarikh pelancaran dan menawarkan hadiah khas untuk mereka yang membuat tempahan,” katanya ketika pratonton kedua bersama media untuk Proton X70 yang menampilkan sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

GKUI menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi serta pilihan untuk kekal berhubung dengan kereta menggunakan telefon bimbit.

Ia juga model Proton pertama yang menggunakan teknologi pengecaman suara bagi mengaktifkan aplikasi yang tersedia.

Kad eSIM, dalam sistem GKUI dimuatkan dengan lima aplikasi yang menawarkan perkhidmatan seperti radio dan muzik dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara.

Akses kepada aplikasi dan fungsi-fungsi yang lain adalah melalui skrin sentuh antara muka berasaskan Android bersaiz 8 inci dengan paparan warna penuh 1280 x 720 yang dilengkapi ruang memori dalaman 16GB.

Sistem ini juga mempunyai sambungan Wi-Fi agar X70 boleh digunakan sebagai ‘hotspot’ mudah alih.

Berita berkaitan

Proton perkenal Proton X70

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:43 PM